Disclaimer

Copyright 2012. Majalah Usahawan Hakcipta terpelihara. Tidak dibenarkan mengeluar ulang mana-mana bahagian artikel dalam apa jua bentuk dan dengan apa cara sekalipun tanpa mendapat keizinan dalam bentuk tulisan atau secara lisan dari penerbit.

Texts

Dikuasakan oleh Blogger.

Footer Widget 2

Blogger Tricks

Catatan Popular

Latest Post

Teknik Jemput Duit Guna Bahasa Bisnes

Written By rahsia penulis on Rabu, 10 Oktober 2012 | 12:30 PG

Pepatah Melayu yang biasa disebut-sebut sepanjang kita tinggal di bumi Malaysia ini adalah, “Bahasa menunjukkan bangsa.”
Bahasa Jemput Duit
Dalam zaman social media seperti kewujudan laman Facebook atau Twitter, terma bahasa boleh diperbaharui dari sudut mata pemilik perniagaan.
Bahasa menunjukkan duit masuk. Bahasa juga menandakan duit keluar.
Fungsi bahasa dalam dunia bisnes adalah penting. Pelanggan membeli produk yang mereka faham fungsi atau mesejnya sahaja.
Bahasa Pemikat Pelanggan
Oleh sebab itu, syarikat-syarikat besar seperti Apple atau Facebook melaburkan wang, masa dan tenaga untuk menstruktur dua jenis bahasa untuk kemudahan masyarakat Malaysia iaitu:
1.    Bahasa Inggeris.
2.    Bahasa Melayu.
Ini perkembangan dari syarikat gergasi. Bagaimana pula bisnes kecil dapat mengambil kesempatan daripada penggunaan bahasa?
#1 – Saya Bukan ‘Sy’
Sekali silap, tidak mengapa. Dua kali silap, tidak mengapa. Kali ketiga, pelanggan pening kepala.
Formula Pemasaran Facebook
Setiap pelanggan mempunyai latar belakang pemahaman bahasa yang berbeza. Ada yang boleh faham bahasa kontot, dan begitu juga sebaliknya. Bahasa kontot boleh mencalarkan kredibiliti kita sebagai peniaga.
Prinsip pengiklanan dan pemasaran di dunia offline sama seperti dunia offline. Guna bahasa penuh untuk membuatkan pelanggan faham mesej yang hendak kita sampaikan.
#2 – Baris Ayat Awak Panjang Sangat
Satu lagi faktor yang membuatkan kredibiliti bisnes kita musnah apabila tersilap menggunakan bahasa adalah ketika kita sedang asyik memasarkan produk di ruangan social media.
Kesilapan yang dilakukan adalah menulis baris ayat yang panjangnya melampau-lampau.Sehinggakan pelanggan pening kepala untuk menghadam maklumat yang kita tulis.
Praktis menulis ayat yang mempunyai maksimum 3 baris sahaja.
#3 – Saya Mahu Visualnya
Tidak semua pelanggan mempunyai cara yang sama untuk menghadam maklumat. Justeru itu,pelbagaikan medium informasi menerusi gambar atau pautan yang berkaitan dengan produk yang kita jual.
Berdasarkan kajian pakar pemasaran social media, penggunaan gambar lebih bagus dalam kempen pemasaran bisnes kita berbanding meletakkan teks sahaja.
Kaji Selidik 2 Iklan Bahasa
Perhatikan ayat iklan yang pertama,
“Prdk jenama XYZ ni mmg bgs utk kegunaan org rmi di luar sanew.”
Ini pula adalah ayat iklan yang kedua,
“Produk jenama XYZ ini memang bagus untuk kegunaan orang ramai di luar sana.”
Pilihan kedua lebih mesra dan bersih di mata pelanggan yang membaca. Elakkan daripada melakukan dosa kecil dalam penggunaan bahasa bisnes.
Saya Suka Bahasa Awak, Saya Beli
Pelanggan Suka BisnesPenggunaan bahasa sering disalah guna oleh pemilik bisnes yang berniaga di Facebook. Kesilapan kecil ini membawa impak yang besar dalam membina kredibiliti bisnes yang kukuh di mata pelanggan.
Mulai hari ini, kaji semula setiap patah kata atau penggunaan bahasa yang digunakan dalam ruangan Facebook. Bahasa boleh buat bisnes lingkup, bahasa juga boleh buat bisnes meletup.
Selamat memantapkan kecantikan sosial bisnes kita di Facebook mahupun Twitter.

Strategi Perniagaan Kencang Gaya Abdul Rahman bin Auf




Assalamualaikum dan salam kejayaan buat para pembaca Majalah Usahawan yang setia sekalian. Artikel kali ini membawakan perkongsian tentang strategi yang diamalkan oleh tokoh perniagaan Islam yang tidak asing lagi iaitu Abdul Rahman bin Auf r.a.
Abdul Rahman bin Auf - Strategi Perniagaan
Seperti yang pembaca sedia maklum, Abdul Rahman bin Auf merupakan salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang hartawan namun tetap zuhud. Beliau telah banyak membelanjakan harta
kekayaannya ke jalan agama.
Beliau adalah seorang usahawan yang termasyhur ketika itu (seorang bilionair jika dibandingkan dengan zaman sekarang).
Salah satu perniagaan yang dijalankan oleh beliau adalah perniagaan unta. Beliau berjaya mendominasi perniagaan unta ini yang sebelum itu telah pun didominasi oleh kaum Yahudi.
Persoalannya, bagaimana Abdul Rahman bin Auf mampu mematahkan strategi kaum Yahudi?

Strategi #1 – Jual Unta Harga Kos

Beliau menggunakan strategi jualan pada harga kos. Ya, unta-unta beliau dijual pada harga kos, bermakna beliau langsung tiada untung. Berkesankah strategi seperti ini? Hasilnya, semua yang ingin membeli unta akan pergi ke Abdul Rahman bin Auf.
Jual Tali Unta
Beliau langsung tidak mengambil keuntungan dengan hasil jualan unta, namun apabila ditanya kepada beliau, beliau menjawab:
Keuntungan tidak diambil dari hasil penjualan unta. Unta dijual pada harga kos. Tetapi, keuntungan diambil dari menjual “tali pengikat unta”.
Dari situlah datangnya keuntungan beliau berniaga. Tali-tali yang dijual adalah cantik dan bermacam- macam warna. Jarang orang lain yang berniaga unta dapat menandingi kelebihan beliau berniaga.
Sebenarnya, pada zaman ini ramai peniaga-peniaga yang menggunakan strategi ini, lebih-lebih lagi peniaga yang mempunyai modal pusingan yang besar.
Ramai peniaga-peniaga terutamanya kedai-kedai borong yang menjual pada harga rendah bagi barangan yang biasa dibeli pengguna, namun secara ‘tersembunyi’ menaikkan harga bagi sesetengah barangan mereka.
Pembeli yang sudah ‘kerasukan’ membeli barangan mereka pasti akan tidak sedar bahawa sesetengah barangan mahal pula harganya, namun tetap berbelanja dengan alasan ‘malas’ untuk pergi ke kedai lain.
Strategi ini jarang sekali dilakukan oleh para peniaga. Tidak ramai yang berani mengambil risiko ini kerana jika tersilap langkah, kerugian besar yang menanti peniaga.
Berbalik kepada kisah sahabat Rasulullah SAW, Abdul Rahman bin Auf adalah seorang saudagar dan usahawan termasyur yang telah dijanjikan syurga. Beliau sangat banyak menyumbangkan hartanya pada jalan Allah. Apabila diminta untuk menderma, pasti tidak akan ditolaknya.
Selain strategi #1 di atas, Abdul Rahman bin Auf pernah ditanya tentang apakah strategi perniagaannya yang lain sehinggakan menjadi hartawan yang terkemuka pada zaman itu?

Strategi #2 – Syukur Walau Untung Sedikit

“Aku tidak pernah menolak keuntungan walaupun sedikit.”
Frasa di atas sangat memberikan kesan yang positif bagi para usahawan dalam mengatur strategi perniagaan. Jangan sesekali ambil mudah soal keuntungan yang bakal diambil dari pembeli, dan jangan pula mengambil mudah soal halal dan haram dalam perniagaan.
Sebagai contoh, sekiranya kita mempunyai kos tanggungan seperti kos penghantaran, kita harus bijak mengira kos supayakeuntungan dapat ditampung walaupun kos penghantaran produk biasanya tidaklah seberapa. Dari segi halal haramnya, jangan pula ada unsur-unsur riba dalam menguruskan perniagaan.

Strategi #3 – Jangan Seksa Pelanggan

“Aku tidak pernah melambatkan penjualan barangan daripada yang meminta.”
Sekiranya ada permintaan, beliau akan sedaya upaya mendapatkan barangan yang diminta oleh pelanggan. Strategi ini boleh diaplikasikan dalam perniagaan yang dijalankan. Ada segelintir usahawan yang bersikap ‘malas’ dan mengambil mudah perkara ini.
Sekiranya pelanggan bertanyakan tentang sesuatu barangan, peniaga hanya membiarkan pelanggan berlalu pergi dengan menyatakan, “Barang yang diingini tidak dijual disini”.
Peniaga yang bijak tidak akan mudah ‘melepaskan’ pelanggan seperti ini, sebaliknya akan berusaha sedaya upaya mendapatkan bekalan barangan yang diminta dari jaringan rakan-rakan perniagaannya yang lain.

Strategi #4 – Sila Bayar Tunai

“Aku tidak menjual secara tangguhan bayaran.”
Bayar TunaiAbdul Rahman bin Auf tidak mengamalkan cara tangguhan bayaran yang rata-rata ramai dikalangan para peniaga yang mengamalkan teknik ini. Beliau menjalankan urusniaga dalam bentuk tunai. 
Sebenarnya dengan mempercepatkan bayaran, peniaga akan mendapat pusingan modal dengan lebih cepat, dan mudah untuk digunakan bagi membeli barangan yang baru untuk dijual.
Seterusnya timbul pula persoalan mengapa Pasar Ansar kepunyaan Rasulullah SAW di Madinah mencipta sejarah menang besar dalam persaingan perniagaan dengan peniaga yahudi atau orang bukan Islam Madinah?
Rahsianya penting yang harus peniaga Islam ketahui ialah setiap malam yang sepi waktu dinihari, para pelaksana perniagaan diketuai oleh Saidina Abdul Rahman bin ‘Auf r.a. sendiri akan bermunajat kepada Allah dan Rasul, untuk menyokong dan memberi kerjasama dalam perniagaan mereka.
Mereka semua melakukan solat hajat, berdoa, taubat, zikir wirid, membaca Al-Quran, selawat dan lain-lain ibadah sampingan demi mendapatkan Tuhan sebagai penolong dan pemimpin. Maka jatuhlah ke hati mereka mukjizat Rasulullah SAW mengajarkan bagaimana perniagaan menurut Islam atau cara berniaga yang disuruh Allah SWT.
Mereka akhirnya dapat menawan hati penduduk kota Madinah. Para penduduk mula beralih daripada peniaga yahudi kepada peniaga pimpinan Abdul Rahman bin auf r.a. Beliau memupukkan rasa kasih sayang sesama peniaga dan para pelanggan.
Rindu untuk duduk bersama Rasul dan para sahabat membuatkan orang Madinah akhirnya berpusu-pusu membeli di Pasar Ansar. Maka akhirnya peniaga yahudi mula meninggalkan kota Madinah.
Begitulah kehebatan strategi perniagaan yang diamalkan Abdul Rahman bin Auf yang harus dijadikan contoh kepada kita lebih-lebih lagi sebagai peniaga. Hamka amat tertarik dengan jawapan yang telah diberikan oleh Abdul Rahman bin Auf.
Jika ada yang bertanya tentang rahsia perniagaannya, Abdul Rahman bin Auf menjawab;
“Aku tidak menjual barang-barang cacat, aku merasa cukup dengan untung yang sedikit kerana aku tahu Allah memberkati..”
Kehebatan beliau dalam perniagaan tidak dapat disangkal lagi. Sejarah pernah merekodkan bahawa beliau pernah menjual seribu ekor unta dalam masa sehari sahaja. Beliau menjualnya dengan harga yang murah, beliau hanya mengambil untung atas tali yang mengikat unta sahaja.

3 Strategi Berniaga Klasik Cara Sahabat Nabi

Setiap utas tali itu, beliau mendapat untung satu Dirham. Dengan itu, beliau berjaya memperolehikeuntungan seribu dirham dalam satu hari. Beliau benar-benar melaksanakan apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW dalam hadith baginda:
“Hendaklah kamu berniaga, sesungguhnya perniagaan itu menjana 9/10 daripada rezeki”. (Hadith Riwayat Imam Ahmad)
Kesimpulan ringkas yang dapat dibuat daripada strategi perniagaan Abdul Rahman bin Auf:
  1. Jangan menolak rezeki walaupun sedikit. Adakalanya kita terpaksa menurunkan keuntungan perniagaan kita. Dengan itu, keuntungan masih kita perolehi. Rezeki masih menyebelahi kita walaupun sedikit.
  2. Percepatkan segala urusan jual beli. Percepatkan segala layanan pelanggan. Terbukti dari zaman dahulu sehingga kini, kelajuan dan kepantasan menangani masalah dan pelanggan dalam perniagaan akan memberi pulangan yang tinggi. Pelanggan pula akan suka kepada peniaga sebegini. Dengan memudahkan urusan pelanggan, besar kemungkinan pelanggan akan melanggan buat kali kedua dan seterusnya.
  3. Urus niaga haruslah dijalankan dalam tunai sahaja. Di mana ia akan menguntungkan kedua belah pihak samada pelanggan mahupun peniaga.
Sekian dahulu artikel untuk kali ini. Moga bertemu lagi dalam artikel berikutnya. Salam kejayaan dari saya, Hasryn Hamka.
Kredit: fondospantallaone, cecilimages, cashforsilverco
Pengarah Urusan syarikat AMAN Intelligent Resources (SA0175140-D). Kepakaran beliau adalah dalam pengucapan awam dan pidato. Hasryn Hamka juga turut menyediakan servis, latihan atau kursus kepada mereka yang berminat.

Rahsia Pengurusan Masa Untuk Bisnes Kecil (Infografik)




Seronoknya melihat rakan-rakan sekeliling membina perniagaan.
A Matter of Time
Disebalik keseronokan, terpalit satu cerita duka. Ia berkaitan dengan masa.
Khususnya pemilik perniagaan bisnes kecil yang baru. Kebanyakan pemiliknya memegang pelbagai jawatan dalam satu masa.
Mereka yang melakukan pemasaran, mereka yang melakukan pengedaran produk, dan mereka juga yang menguruskan akaun syarikat.

Duit Ada, Masa Ghaib

Hasil survey yang dilakukan oleh eVoic, 71% usahawan bisnes kecil kerja lebih masa dan 41% memberikan respon yang kurang enak. Di mana golongan 41% adalah mereka yang jarang mengambil cuti memandangkan tiada siapa boleh menjaga bisnes itu.
Berhenti sejenak. Lihat pada diri kita sendiri.
Adakah kita berniaga untuk mendagangkan masa buat selama-lamanya? Rujuk infografik di bawah untuk mengetahui kaedah pengurusan masa untuk pemilik bisnes kecil.
Rahsia Pengurusan Masa Bisnes Kecil

Usahawan Sukses – Semakin Takut, Semakin Lingkup




“Saya minat untuk berniaga, tetapi saya takut kepada risiko.”
Trauma Usahawan Baru
Dialog ini biasa disebut-sebut oleh golongan bakal usahawan yang mempunyai minat untuk menceburi bidang perniagaan. Risiko adalah satu daripada tekanan yang dapat membuatkan bakal usahawan mengangkat bendera putih sebelum bermula.
Menurut jurulatih kejayaan dan penulis buku Secrets of Millionaire Mind, T. Harv Eker,
“Setiap individu kaya dan berjaya mempunyai ketakutan. Namun apa yang membezakan diri mereka dengan orang lain adalah, mereka tidak membiarkan perasaan takut itu menguasai diri mereka.”
Kenyataan ini ada kebenarannya. Setiap manusia dikurniakan dengan pelbagai jenis perasaan, termasuk perasaan takut untuk melakukan sesuatu. Namun begitu, terdapat teknik yang dapat mendorong kita untuk bertindak dan memusnahkan perasaan takut.
3 Resepi Ghaibkan Rasa Takut
#1 – Tolak Rakan Negatif Ke Tepi
Rakan Negatif
Tip yang pertama adalah berkawan dengan golongan usahawan. Rakan-rakan usahawan ini dapat membantu kita dari segi perkongsian ilmu perniagaan yang dapat melenyapkan satu demi satu kekeliruan dan ketakutan untuk memulakan perniagaan.
Menurut pakar psikologi, manusia mempunyai perasaan takut kerana mereka memperoleh jawapan bagi masalah yang dihadapi. Justeru itu, apabila berjumpa dengan golongan usahawan, sediakan soalan-soalan yang dapat membantu menyelesaikan masalah kita.
#2 – Terima Kasih Kerana Berkongsi
Ini adalah teknik untuk menjinakkan minda apabila diselebungi oleh perasaan takut. Dalam seminar anjuran T. Harv Eker, beliau menggunakan pendekatan tame the cobra.
Tekniknya adalah seperti berikut:
“Apabila minda kita berkata, ‘Saya tidak boleh’, terus beritahu kepada minda, ‘Terima kasih kerana berkongsi.’ Kemudian terus bertindak. Kita akan perasan minda negatif ghaib serta merta.”
#3 – Sumbat Diri Ke Dalam Majlis Ilmu
“Semakin banyak kita belajar ilmu perniagaan, semakin besar potensi kita untuk menjadi usahawan berjaya.” – Azizan Osman.
Ilmu adalah jalan penyelesaian berkesan untuk memusnahkan perasaan takut melakukan perniagaan. Untuk menuntut ilmu, terdapat beberapa prinsip penting supaya kita dapat serap ilmu yang berkualiti sahaja.
1.    Kenali pakar dalam bidang perniagaan – Pakar bermaksud mereka yang sudah berjaya membangunkan perniagaan.
2.    Bayar, bukan percuma – Menyertainya majlis ilmu secara percuma merendahkan momentum kita untuk belajar selepas menuntut ilmu.
3.    Catat dan buat – Catat segala maklumat penting berkaitan dengan ilmu yang dikongsikan. Nota catatan itu dapat membunuh ketakutan dalam minda kita untuk memulakan perniagaan.

Pecah Rahsia – Bilionair Yang Merempat

Written By rahsia penulis on Selasa, 9 Oktober 2012 | 11:59 PTG



Nicolas Berggruen adalah orang kaya pelik. Walaupun firma ekuiti beliau menjana keuntungan USD5 bilion setahun, insan ini memilih untuk tidak mempunyai kereta dan rumah sendiri.

Nicolas Berggruen - Bilionair Merempat
Sebaliknya, beliau hanya tidur dari hotel lain ke hotel lain setiap hari. Namun begitu, beliau bukan kedekut atau mahu hidup rendah diri. Kerana laporan menjelaskan beliau cuma tidak suka untuk mempunyai item material seperti kereta dan rumah.
Walaupun hidup seperti bilionair merempat, Nicolas Berggruen mempunyai jet peribadi dan hanya tinggal di hotel bertaraf 5 bintang.
Kenyataan yang direkod oleh The Wall Street Journal, berkaitan dengan sifat beliau yang tidak ingin memiliki kereta dan rumah mewah adalah seperti berikut:
“Pertama, saya rasa saya tidak perlukannya. Kedua, saya tidak selesa dengan material-material seperti itu.”
Dalam masa sama, insan bergelar bilioanair ini turut menyalurkan wangnya untuk membantu krisis kewangan di Amerika Syarikat dan memberi sumbangan dana kepada badan kebajikan.

Luaskan Empayar Perniagaan – Strategi Urus Bisnes Luar Negara




Apabila anda menjalankan perniagaan dengan rakan niaga atau klien dari luar negara, perkara utama yang perlu anda ingat adalah kita mempunyai perbezaan dan juga persamaan.
Beza Budaya
Adalah penting bagi kita untuk cuba menyesuaikan diri kita, mengikut keadaan dan kehendak masyarakat setempat sekiranya anda ingin meluaskan perniagaan anda di masa hadapan.
Tip- tip di bawah ini dapat membantu.
Hormat Perbezaan Dan Persamaan
Sentiasa menghormati perbezaan diantara kita. Hormati budaya, agama dan adat resam orang lain seperti mana kita mahu mereka menghormati agama, budaya dan adab resam kita. Untuk meletakkan diri anda di arena antarabangsa, selalu letakkan diri anda di kedudukkan orang lain.
Hormati Perbezaan dan Persamaan
Sentiasa bersabar, menjadi pendengar yang baik dan sentiasa cuba untuk fleksibel atau bertolak-ansur.
Anda boleh cuba untuk belajar menyebut beberapa patah perkataan masyarakat tempatan, cara berpakaian, mengetahui maklumat asas mengenai negara tersebut serta adat dan budaya.
Ketahui juga tentang warisan negara tersebut samada ia berkaitan dengan seni, musik, tamadun, sukan, iklim mahupun tentang adab-adab atau budaya memberi dan menerima hadiah dan sebagainya.
Dengan pengetahuan ini anda lebih mudah untuk memulakan perbualan. Malah ia menjadikan anda dipandang sebagai seorang yang peka dan bersungguh-sungguh untuk mengembangkan perniagaan di negara tersebut.
Elak Guna Perkataan Syok Sendiri
Berhati-hati apabila memulakan bicara atau lawak jenaka kepada mereka yang baru anda kenali. Tidak semua bicara atau jenaka berakhir dengan lucu. Malah ada yang mentafsir sebaliknya. Belajar juga untuk fahami perbezaan kecil yang membawa maksud yang sama.
Sebagai contoh di England:
§  Napkins = serviettes,
§  Elevator = lift,
§  Two weeks = forthnight,
§  Bathroom = water closet.
Apabila Bahasa Inggeris Adalah Bahasa Kedua Negara Tersebut
Sekiranya anda menjalankan perniagaan di negara yang mana bahasa Inggeri sebagai bahasa perantaraan antrabangsa bahasa kedua atau ketiga seperti di Jepun, China dan sebagainya, maka bertutur dengan perlahan dan bukannya kuat.
Kita amat bertuah kerana bahasa Inggeris bukanlah bahasa yang sukar dipelajari dan sememangnya sistem pendidikan negara kita menggalakkan bahasa ini dipelajari sejak dibangku sekolah. Namun terdapat negara-negara yang tidak meletakkan bahasa Inggeris sebagai keutamaan.
Maka anda akan berhadapan dengan sedikit kesukaran sekiranya anda tidak mampu untuk berbahasa seperti masyarakat tempatan.
Maka di sini anda perlu lebih bersabar, cuba untuk memahami atau cuba mempelajari bahasa negara tersebut secepat mungkin. Dalam masa sama, belajar adat dan budaya mereka sekali. Anda akan dapati urusan perniagaan anda menjadi lebih lancar dan mudah.
Berjabat Tangan
Dalam konteks perniagaan, sentiasa bayangkan bahaya berjabat tangan ibarat wang yang bakal bertukar tangan ke tangan anda. Berjabat tangan merupakan perkara utama yang dilakukan oleh anda dengan rakan niaga atau klien anda apabila pertama kali berjumpa.
Berjabat Tangan
Seringkali di arena perniagaan, keikhlasan, keyakinan anda diterjemahkan melalui bagaimana anda berjabat tangan. Genggaman tangan yang terlalu kuat menafsirkan anda mungkin suka mendominasi, manakala genggaman yang terlalu lemah, mencerminkan ketidakyakinan dan tidak berminat mengenai sesuatu.
Menjadi Pendengar Yang Baik
Dalam perniagaan, mendengar apa yang diperkatakan oleh rakan niaga atau klien merupakan sebahagian kunci kepada kejayaan. Kita hanya perlu mendengar, mengingati dan memahami hanya sebahagian apa yang diperkatakan.
Apabila kita tidak berusaha menjadi pendengar yang baik, kita mungkin kehilangan sebahagian besar perkara yang penting yang diperkatakan oleh rakan niaga atau klien kita. Untuk berjaya cuba belajar menjadi pendengar yang lebih baik pada masa hadapan.

Tiru 5 Prinsip Neil Patel, Jadi Jutawan Internet




Dalam Seminar SEO anjuran tim Majalah Niaga, Pihaknya ada menyebut tentang seorang ikon usahawan Internet dan juga pakar dalam pemasaran SEO.
Neil Patel - Pengasas Crazy Eggs
Beliau adalah pengasas dua laman web iaitu CrazyEgg dan KissMetrics. Di mana kedua-dua laman web ini menyediakan servis untuk membantu perniagaan lain membawa lebih banyak keuntungan dan pelawat.
Ya, Neil Patel juga adalah seorang jutawan Internet.
Sebelum berbicara mengenai rahsia dalam diri Neil Patel, kita dapat lihat mereka yang bergelar ‘usahawan Internet’ di Malaysia wujud dengan begitu pantas. Ini adalah signal yang baik dari sudut ekonomi.
3 Poin Bunuh Kekayaan Usahawan Internet
Namun begitu, golongan usahawan Internet yang baru bertapak ini kebanyakannya tidak mempunyai idea bagaimana untuk membawa perniagaan mereka ke tahap yang lebih tinggi.
Rugi Dalam Perniagaan Internet
Kejadian ini berlaku akibat daripada 3 poin penting ini:
Pertama, Saya Rasa Saya Sudah Tahu Semua
Ilmu tidak pernah habis dan tidak sentiasa berubah mengikut peredaran zaman. Sebelum ini, pemasaran forum mungkin menjadi senjata utama pemasaran.
Namun kewujudan laman sosial telah membuatkan orang ramai beralih arah ke pemasaran Facebook, Twitter dan banyak lagi.
Bagaimana untuk kita tahu perkembangan ini? Sertai mana-mana seminar yang dianjurkan oleh usahawan Internet lain. Bisnes kita mungkin lebih menguntungkan jika dibandingkan mereka.
Tetapi ilmu yang mereka ada mungkin dapat memberikan idea baru kepada kita untuk meningkatkan keuntungan perniagaan.
Kedua, Saya Terlalu Sibuk
Sibuk menjalankan bisnes merupakan satu daripada sebab para usahawan Internet tidak mempunyai masa untuk menuntut ilmu.
Apa yang boleh dilakukan di sini adalah menyusun semula jadual perniagaan kita. Ketepikan alasan sibuk dan mula mencari masa yang sesuai untuk belajar dengan usahawan Internet yang lebih maju daripada kita.
Ketiga, Saya Malu Bertanya
Pepatah Melayu ada menyebut,
“Malu bertanya sesat jalan.”
Sesat jalan bisnes kerugian. Bagi usahawan Internet yang masih baru, jadikan ‘soalan’ sebagai satu peluang untuk kita mendapatkan jawapan-jawapan yang bernas daripada usahawan Internet di sekeliling kita.
Setiap soalan berkemungkinan besar dapat memberikan jawapan yang kita cari.
Tiru Cara Neil Patel Bangunkan Bisnes Internet
Berbalik semula kepada pengasas CrazyEggs dan KissMetrics ini. Berikut adalah 5 prinsip perniagaan Neil Patel yang boleh kita tiru.
Tiru dan jadi jutawan Internet seperti beliau dalam masa beberapa tahun dari sekarang.
Rahsia Jutawan Neil Patel
#1 – Buat Duit Secepat Mungkin
Dalam perniagaan, duit adalah udara untuk mengizinkan perniagaan kita terus bernafas. Pentingnya untuk memperoleh duit dalam masa yang singkat selepas kita membuat keputusan untukmembangunkan sebuah perniagaan.
Dalam kes KissMetrics, Neil Patel berjaya membawa keuntungan pada hari pertama ia mula beroperasi.
#2 – Blog Sebagai Pemikat Pelanggan
Apabila bercakap mengenai blog, ia adalah blog berbayar iaitu menggunakan domain (dot) com sendiri.
Blog adalah senjata jualan yang dipraktis oleh Neil Patel untuk kedua-dua bisnesnya. Menurut beliau, dengan hanya fokus pada blogging, keuntungannya berlipat kali ganda.
Blog adalah alat pemasaran berkos rendah. Maklumat yang boleh diterbitkan di blog adalah seperti berikut:
§  Cara penggunaan produk kita.
§  Diari semasa perniagaan.
§  Penerbitan testimonial-testimonial pelanggan.

#3 – Berani Untuk Keluar Duit
Keluar duit untuk pengiklanan. Kelebihan pengiklanan adalah kita dapat memperkenalkan produk kita kepada ramai orang. Tujuannya adalah untuk mewujudkan kesedaran dalam golongan pasaran tentang kewujudan bisnes kita.
Jangan takut untuk melaburkan duit ke saluran pengiklanan. Walaupun ia mahal, tetapi pengiklanan membawa keuntungan jangka masa panjang.
#4 – Bina Pasukan, Maju Ke Hadapan
Jangan buat duit dan bina bisnes seorang diri. Rezeki dikurniakan Tuhan adalah untuk hak orang ramai. Bina pasukan perniagaan apabila berkemampuan.
Kerja Berpasukan
Pasukan yang hebat juga mampu meledakkan perniagaan kita ke satu tahap yang lebih baik dalam masa yang singkat. Kenapa perlu bangunkan perniagaan seorang diri sedangkan kita berpeluang untuk menyatukan 10 orang ke dalam bisnes?
#5 – Elemen Personal Kepada Pelanggan
“Saya sendiri menjawab e-mel pelanggan walaupun mereka minta nasihat perniagaan. Semuanya percuma dan semuanya mempunyai elemen personal.” – Neil Patel.
Buat pelanggan jatuh cinta dengan bisnes kita. Cara paling mudah adalah menjawab setiap soalan mereka dari pelbagai medium. Antaranya adalah e-mel atau Facebook. Bantu mereka tanpa perlu caj.
Aktiviti ini bukan sahaja baik untuk keuntungan bisnes. Malah ia mengukuhkan jenama kita di mata pelanggan.

Rahsia Publisiti Bisnes Percuma Dunia Maya




Setiap bisnes perlukan publisiti. Publisiti dapat menyebarkan virus-virus maklumat kepada orang ramai tentang bisnes kita.
Tip Publisiti Bisnes Percuma
Publisiti juga adalah satu daripada teknik pemasaran efektif. Ia bukan untuk menjual, namun ia berkesan supaya orang kenal bisnes kita.
Lebih ramai orang kenal bisnes kita, lebih tinggi peluang kita untuk mendominasi dua elemen ini iaitu:
§  Penjenamaan.
§  Pemasaran.
Dalam artikel ini, kita akan belajar bagaimana untuk menggunakan teknik mendapatkan publisiti dengan kos yang rendah. Serendah 0.00 sen. Tidak perlu pengiklanan di televisyen, akhbar dan sebagainya.
Kita akan bermula dari bawah. Tanpa perlu kos yang sangat berisiko.
Berkenalan Dengan Juruhebah Maya
Juruhebah maya bermaksud pemilik-pemilik secara perseorangan yang memiliki medium hebahan. Dalam bahasa mudahnya, mereka ini adalah golongan blogger. Ramai blogger di Malaysia boleh memberikan publisiti secara percuma kepada kita.
Juruhebah Maya - Blogger Malaysia
Bagaimana impaknya pada bisnes?
Sebagai contoh, jika memiliki perniagaan yang menjual tudung. Bayangkan jika 1 blog mempunyai 1,000 orang pembaca.
Apabila kita berjaya melakukan hubungan kerjasama yang baik dengan mereka, kita sebenarnya sudah memperoleh nilai hebahan bisnes sebanyak 1,000 orang.
Modal dari sudut wang ringgit? Tiada.
3 Teknik Berkesan Pikat Juruhebah Maya
Apakah teknik yang terbaik untuk membantu kita memikat golongan blogger ini supaya mereka menjadi pusat publisiti percuma bisnes?
Cara Pikat Blogger - Tip Publisiti Percuma
Berikut adalah 3 teknik yang dapat meningkatkan kebarangkalian untuk berjaya. 3 teknik itu adalah:
1.    Hadir ke majlis blogger.
2.    Kenalkan diri dan perniagaan kita.
3.    Berikan sampel produk percuma.

Hadir Ke Majlis Blogger
Dapatkan maklumat dari pelbagai sumber untuk hadir ke majlis yang mempunyai himpunan blogger-blogger di kawasan tertentu. Kos untuk hadir ke majlis ini biasanya percuma kerana kebanyakan masa ia ditaja oleh organisasi tertentu.
Kenalkan Diri dan Perniagaan Kita
“Setiap blogger adalah aset publisiti bisnes.”
Sediakan kad bisnes, sediakan mesej untuk perkenalkan diri kita kepada majoriti blogger yang hadir ke majlis itu. Anggap mereka sebagai rakan karib kita. Beritahu mereka perniagaan apa yang kita lakukan dan sebagainya.
Berikan Sampel Produk Percuma
Berikan mereka berita baik. Berikan mereka barangan secara percuma sebagai tanda penghargaan. Dengan memberikan produk percuma ini, secara tidak langsung kita mencipta satu pendekatan emosi bersama pemilik blog.
Secara tidak langsung, mereka akan menghebahkan bisnes kita menerusi artikel-artikel terbitan di blog. Bayangkan, 1 blog mempunyai 1,000 pelawat. Jika 10 blog, maka bisnes kita sudah mempunyai publisiti percuma seramai 10,000 orang.
Berapakah kosnya? Lebih rendah dan berbaloi jika melakukan publisiti secara berbayar.
Adakah tuan puan sudah cuba melakukan tip publisiti percuma ini? Bagaimana kesannya? Kongsikan pada ruangan komen supaya dapat meningkatkan semangat pemilik bisnes lain untuk meraikan teknik ini.
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Majalah Usahawan - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger